Bukan Alasan, Tapi Itu Hakikatnya - Irfan Bakti


IPOH: Keletihan akibat beraksi selang tiga hari dan menempuh perjalanan jauh dirumuskan sebagai faktor yang menyumbang kekalahan 1-2 Terengganu di tangan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC di sini, malam tadi.

Hakikat itu diakui jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim selepas menyaksikan anak buahnya tersungkur di Stadium Perak.

"Ia bukan alasan yang baik tetapi itulah hakikatnya. Pemain beraksi lesu.

"Kami tidak banyak mencipta peluang. Tambah malang pemain buat kesilapan termasuk beri penalti kepada lawan," katanya.

Irfan turut hairan kerana anak buahnya melakukan kekasaran di dalam kawasan sendiri hingga memberikan sepakan percuma kepada lawan.

"Ada beberapa tindakan tidak cerdik dilakukan pemain," katanya.

Beliau berkata, mereka juga terperangkap dengan corak hantaran jauh tuan rumah yang berkesan untuk merobek gawang mereka.

Jurulatih berpengalaman itu juga berkata, langkah melambat-lambatkan permainan oleh pemain tuan rumah juga berjaya menjejaskan corak dan fokus anak buahnya.

"Terlalu banyak berhenti untuk dapatkan rawatan. Malah sampai dua pemain sekali gus rebah. Ia strategi berkesan untuk menjejaskan rentak lawan," katanya. - Berita Harian