JURULATIH Terenggganu FC, Irfan Bakti Abu Salim percaya saingan Liga Super tetap rancak meskipun setiap pasukan akan mengharungi lima perlawanan sepanjang Ramadan bermula 22 Mei hingga 10 Jun ini.
Katanya, ini bukan kali pertama pemain terpaksa bermain lewat dengan sepak mula jam 10 malam dan sokongan penyokong juga tidak terjejas andai setiap pasukan mempamerkan aksi berkualiti.
"Saya rasa tak ada masalah dengan prestasi pemain, kita akan mulakan latihan pada sebelah malam dan semua pemain juga diingatkan supaya menjaga pemakanan. Mungkin akan ada kesan sedikit (kehadiran penyokong) tapi saya percaya penyokong akan tetap datang ke stadium juga jika pasukan mempamerkan permainan menarik.
"Pemain juga ada pengalaman bermain di bulan puasa, dua tahun lalu liga tetap berjalan ketika Ramadan, jadi pada saya tak ada masalah. Cuma saya harapkan pemain terus konsisten untuk mengejar pendahulu JDT (Johor Darul Ta'zim)," katanya.
Selepas 10 perlawanan, juara bertahan JDT terus mendominasi saingan di tangga teratas dengan mengumpul 25 mata diikuti Perak (20), Pahang (18), PKNS FC (17) dan Terengganu (15).
Kali ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada Ramadan untuk mengelak jadual padat serta dapat berakhir lebih awal memandangkan skuad kebangsaan mempunyai tugasan antarabangsa di Piala AFF November depan. - HM