Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) yang dimalukan Pahang di laman sendiri Selasa lalu tidak rela diaibkan buat kali kedua berturut-turut apabila berkunjung ke Stadium Perak, Ipoh malam ini bertemu Perak dalam aksi Liga Super.
Skuad Penyu yang sedikit tempang selepas penyerang sensasinya, Kipre Tchetche masih lagi bergelut dengan kecederaan paha tidak mahu menjadikan ketiadaan pemain dari Ivory Coast itu sebagai alasan sebaliknya matlamat mencatat kemenangan menjadi agenda utama pasukan.
Perkara itu disuarakan ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim yang mahukan anak buahnya mempamer aksi sebenar bagi mengelak pasukannya diratah skuad The Bos Gaurus bimbingan jurulatih Mehmet Durakovic.
“Kami tiada pilihan kecuali perlu sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata bertemu Perak bagi mengelak jauh ketinggalan dengan pendahulu liga JDT (Johor Darul Ta’zim), jika kami mencatat kemenangan ia bonus buat pasukan dan pemain,” kata Irfan.
“Saya yakin anak buah mampu memperagakan aksi terbaik dan sudah pasti datang dengan keazaman tinggi untuk menebus kehampaan dalam dua aksi berturut-turut di laman sendiri yang berkesudahan kami gagal mengutip mata penuh.
“Keadaan Tchetche yang kini 50-50 sama ada akan diturunkan atau terus menjadi penonton akan diketahui sebelum perlawanan kerana pemain itu masih menunggu pengesahan pihak perubatan sebelum disenaraikan dalam kesebelasan utama.
“Bagaimanapun biarpun sedikit resah dengan ketiadaan penggempur itu tapi keyakinan kami tetap tinggi kerana pemain lain seperti Bruno Suzuki dan penyerang tempatan, Ashari Samsuddin mampu memikul tanggungjawab itu.”
Sementara itu, kapten Latiff Suhaimi berazam akan membentuk benteng pertahanan mantap bagi mengekang asakan rangkaian penyerang skuad The Bos Gaurus yang dilihat semakin tajam.
“Keupayaan pasukan lawan yang terus mencatat kemenangan harus dihormati, tapi pada masa sama kami sudah bersedia untuk merantai barisan penyerang skuad itu daripada bermaharajalela di depan gol,” katanya. - Harian Metro