KUALA TERENGGANU: Kejayaan melakar kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut termasuk yang terbaru menundukkan Melaka United 1-0 Sabtu lalu membakar semangat pemain Terengganu FC (TFC) yang percaya skuadnya berada di landasan tepat untuk menjadi antara pasukan yang mampu mencabar Liga Super musim ini.
Kapten TFC, Kipre Tchetche atau lebih dikenali sebagai Drogba Terengganu berkata, keupayaan pasukan yang kini berada di tangga kelima liga selain perbezaan mata yang tidak jauh dengan pasukan di kedudukan kedua liga adalah bukti skuad Penyu makin mengorak langkah.
Selain itu, Tchetche juga percaya pengalaman yang dimiliki ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim juga sebagai aset berharga buat pasukan untuk memburu kedudukan yang lebih baik dalam saingan liga.
Penyerang kelahiran Ivory Coast itu juga yakin peningkatan corak permainan yang diperagakan rakan sepasukannya itu adalah antara salah satu kunci kejayaan pasukannya.
"Pasukan kami berada di landasan tepat untuk menjadi satu daripada pasukan yang mampu bersaing untuk merebut kejuaraan liga biarpun kini masih ketinggalan mata dengan pendahulu liga.
"Kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut mengembalikan motivasi kami untuk terus pamerkan aksi terbaik bagi mengutip seberapa banyak mata bagi mengejar Johor Darul Ta'zim (JDT) di persada liga.
"Kita kalah dua aksi berturut-turut pada penghujung pusingan pertama liga, jurulatih meminta kami berusaha keras untuk menamatkan kekalahan dan kita telah melakukan yang terbaik dengan menumpaskan Pahang, Perak dan Melaka dalam dua aksi terakhir.
"Saya dan rakan-rakan berazam untuk meneruskan momentum kemenangan ini apabila bertemu dengan Kuala Lumpur di laman lawan pada Sabtu ini," kata Tchetche.
Selepas 12 perlawanan Liga Super, Tchetche berjaya meledak lapan jaringan dan muncul penjaring terbanyak dalam saingan liga setakat ini bersama penyerang Selangor, Rufino Segovia.
- Berita Harian