Kuala Terengganu: Angin perubahan pemerintahan kerajaan negeri baru di Terengganu beri pelbagai spekulasi berkaitan impak yang bakal dihadapi skuad Peteh selepas ini.
Namun, pertemuan kali pertama pihak pentadbiran baru dengan skuad Terengganu yang bakal berlangsung pada Rabu mencerminkan ada gerakan positif daripada pucuk pimpinan baru.
Individu yang paling mengharapkan aura positif daripada pihak pengurusan sudah pasti jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, yang tidak mahu melihat anak buahnya diketepikan.
‘Kita mengharapkan pengurusan baru mampu beri suntikan semangat untuk Terengganu meneruskan baki musim ini selain kepentingan skuad ini akan terus terjaga untuk musim seterusnya.’ Itu reaksi Irfan sebaik di temui krew Nadi Arena pada hari ini
Irfan tidak menyatakan lebih terperinci harapan pucuk pimpinan baru Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) sebaliknya mahu melihat apa pembaharuan dan penambahbaikan yang bakal di umum menjelang Rabu ini.
‘Saya menjangkakan sesuatu yang baik mampu berlaku dalam skuad Terengganu selepas pertemuan dengan pucuk pimpinan baru nanti.’
Terengganu ketika ini menghuni tangga kelima Liga Super dengan letak sasaran muncul tiga terbaik Liga Super selain menyasarkan satu piala pada musim ini.
Era kerajaan PAS lalu dari 1999-2004, Terengganu berjaya memecah kegagalan tanpa piala sejak 10 tahun lalu menerusi kejuaraan Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001, juara Piala FA pada 2000 dan julang Piala Sumbangsih musim 2001. - Arena