Terengganu FC Derita Masalah Kecederaan Pemain - Irfan Bakti


KUALA TERENGGANU: Tanpa berselindung, pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui ketiadaan penyerang sensasinya, Kipre Tchetche yang dibelenggu kecederaan mengakibatkan jentera serangan pasukannya kurang berbisa biarpun mempunyai penyerang pinjaman, Akanni Sunday Wasiu.

Malah Irfan Bakti juga membayangkan skuad kendaliannya itu akan terus 'kemarau' jaringan jika pemain kelahiran Ivory Coast yang dipanggil 'Drogba Terengganu' itu yang kini mengumpul enam gol masih belum pulih daripada kecederaan yang dialaminya.

Bekas penyerang kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu mengalami kecederaan paha pada 13 April lalu ketika bertemu Melaka United menyebabkan TFC yang tidak dapat menggunakan khidmatnya seri 1-1 bertemu Kedah dan terbaharu tewas kepada Pahang 1-3.

"Kita terasa kehilangan Tchetche, ketiadaannya melumpuhkan jentera serangan ketika bertemu Kedah serta Pahang dan jika kita lihat beberapa situasi di depan gol skuad Tok Gajah, barisan penyerang gagal menyudahkan peluang itu dengan jaringan, jika pemain itu (Tchetche) ada pasti dapat hasilkan gol.

"Pertemuan dengan Perak pada 6 Mei ini, walaupun Tchetche mengadu masih lagi terasa kesakitan, tapi saya mengharapkan pemain itu kembali pulih sebelum bertandang ke laman lawan bagi menggalas tugas sebagai penyerang bergandingan dengan Bruno Suzuki selepas dua aksi di laman sendiri tanpa pemain itu yang begitu mengeceawakan," kata Irfan.

Kehadiran Wasiu yang diharap dapat menajamkan jentera serangan skuad Penyu itu bagaikan 'mimpi ngeri' kepada barisan jurulatih kerana penyerang kelahiran Nigeria itu gagal memberikan sumbangan yang baik selain gagal meledak jaringan.

Disebabkan prestasi kurang memberangsangkan diperagakan pemain berusia 34 tahun itu menyebabkan dia dihantar pulang ke pasukan asalnya, Terengganu FC II (TFC II) yang bakal melayan kunjungan pasukan Felcra FC dalam saingan Liga Perdana pada malam esok.

"Saya terpaksa keluarkan pemain itu (Wasiu) selepas 10 minit babak kedua bermula ketika bertemu Pahang, jika tidak lagi parah kerana pemain itu tidak mampu menguasai bola selain larian juga tidak ada, jadi kami guna dia kerana fizikalnya," kata Irfan yang mengharapkan pemain itu harus bangkit sebagaimana aksinya ketika mewakili UiTM FC musim lalu dengan meledak 19 gol sepanjang 21 penampilan. - Berita Harian