KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFCII) mendapat suntikan moral apabila dua pemain senior, Ismail Faruqi Ashaari dan Shukur Jusoh memperkuatkan pasukan itu selepas pintu perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga M) dibuka.
Dua bekas pemain Terengganu FC (TFC) itu akan mengisi kekosongan dua pemain muda TFCII iaitu Haidhir Suhaini dan Aliff Fitri Jefri yang diserap masuk ke pasukan 'abang' bersaing dalam Liga Super baru-baru ini.
Pengendali TFCII, Mustaffa Kamal Wahab berkata, kehadiran dua pemain senior itu sekurang-kurangnya mampu menambah kekuatan di posisi tengah pasukannya.
Begitupun katanya, tiada jalan pintas buat dua pemain itu untuk berada dalam kesebelasan utama sebaliknya perlu bersaing dengan pemain lain.
"Pertukaran ini sudah dibuat sebelum ini, namun memandangkan dua pemain ini, Ismail dan Shukur melepasi had umur, maka mereka perlu menunggu pintu perpindahan untuk melayakkan bermain dengan TFCII.
"Berbeza dengan Haidhir dan Aliff, mereka boleh bermain secara automatik tanpa perlu menunggu pintu perpindahan kedua dengan syarat mereka berusia 27 tahun ke bawah," katanya.
Ditanya sama ada berlaku pertukaran pemain import dalam TFCII, Mustaffa Kamal berkata, pihaknya menyerahkan kepada pengurusan untuk membuat keputusan.
Menurutnya, beliau tidak boleh membuat keputusan, namun apa yang boleh diperkatakan setakat ini masih belum berpuas hati dengan sumbangan bekas pemain import TFC, Lee Jun Hyeob.
"Selepas lima perlawanan bersama TFCII, saya melihat prestasi pemain dari Korea Selatan berusia 28 tahun itu masih belum memuaskan, malah tahap permainannya sama seperti pemain tempatan," katanya. - BH