Pesanan Irfan Bakti Kepada Pemain Untuk Aksi Bertemu Perak


Kuala Terengganu: Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, tidak mahu kehampaan di laman sendiri sekali lagi menjadi punca mereka kehilangan mata, apatah lagi sasaran untuk berada dalam kedudukan tiga terbaik Liga Super masih relevan.

Kemenangan 1-0 ke atas Pahang memberi harapan besar berdasarkan kebangkitan anak buahnya di tempat sendiri walaupun hakikatnya, TFC kurang menyerlah ketika beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Tegas Irfan, Terengganu yang menduduki tangga ketiga Liga Super sudah tidak boleh keciciran mata lagi bagi memastikan perbezaan mata dengan pasukan teratas tidak ketinggalan jauh.

Satu perkara yang melegakan Irfan adalah situasi pemainnya yang cergas sepenuhnya menjelang aksi getir dengan Perak, malam ini.

"Kami lebih banyak menang di tempat lawan berbanding di tempat sendiri, mungkin disebabkan tekanan beraksi di laman sendiri.

"Saya harap pemain-pemain tidak lagi tertekan kerana kami tidak harus kalah lagi dan terus keciciran mata dengan dua pasukan di atas kami," katanya.

Sang Penyu mengekalkan sesi latihan di sebelah petang seperti kebiasaan berikutan Irfan mengesan keletihan pemain lebih ketara sekiranya latihan dibuat pada sebelah malam.

"Bulan puasa tidak menghalang kami untuk berlatih seperti biasa tetapi kami mengadakannya pada sebelah petang sahaja," katanya lagi. - Arena