KETUA jurulatih Terengganu FC I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim memberi amaran kepada anak-anak buahnya agar beraksi dengan lebih konsisten dalam misi memburu kelompok tiga teratas Liga Super musim ini.
Sepanjang tiga perlawanan terdahulu, TFC I dikejutkan dengan dua kekalahan bermula Pahang (1-3) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dan Perak (2-3) di Stadium Perak.
Bagaimanapun, skuad Penyu kembali menemui rentak kemenangan apabila menewaskan Pahang menerusi kemenangan tipis 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan minggu lalu.
Mengulas lanjut, Irfan berharap rentak kemenangan itu akan bertahan lama dan menuntut skuad Penyu berusaha lebih keras untuk meraih mata maksimum dalam misi menghambat kedudukan lebih baik.
“Kemenangan ke atas Pahang sebenarnya menjadi lonjakan dan suntikan semangat buat kami. Saya bersyukur kerana kami akhirnya berjaya menemui kemenangan.
“Masakan tidak, saya sangat kecewa apabila kami kalah dua kali berturut-turut dan kekalahan itu menyebabkan kedudukan TFC I jatuh berbanding sebelum ini kita masih berada dalam kelompok tiga teratas.
“Jadi, saya berharap pemain-pemain menjadikan kemenangan ke atas Pahang sebagai kebangkitan dan mereka harus sedar bahawa TFC I kena kejar balik untuk berada di kelompok tiga teratas Liga Super pada musim ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Dalam perkembangan lain, Irfan turut memberitahu, beliau tidak berdepan masalah untuk berlatih dalam bulan Ramadan, sebaliknya menggesa pemain-pemain mengekalkan fokus seperti biasa.
“Tiada masalah berlatih dalam bulan puasa. Sebenarnya ini bukan satu perkara baharu dan saya percaya para pemain akan tampil lebih bersemangat sepanjang bulan Ramadan ini,” ujarnya.
TFC I bakal menanti kunjungan Perak di laman sendiri pada Selasa ini sebelum bertemu Melaka United di veneu sama berselang tiga hari kemudian. - KOSMO