Kami Mahu Teruskan Momentum Kemenangan


KAPTEN Terengganu Football Club I (TFC I), Tchetche Kipre yakin skuad Penyu kini berada di landasan tepat untuk kembali menjadi salah satu pasukan yang mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

Penyerang kelahiran Ivory Coast itu berkata, kemenangan dua perlawanan berturut-turut mengembalikan motivasi pemain-pemain TFC I yang kini berada di tangga keempat liga untuk terus ghairah mengutip seberapa banyak mata bagi mengejar Johor Darul Ta'zim (JDT) di persada liga.

“Kita tewas dua aksi berturut-turut pada penghujung pusingan pertama liga. Ketua Jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim) meminta kami menghentikannya (kekalahan) dan kita telah melakukan yang terbaik dengan menumpaskan Pahang dan Perak.

“Saya dan rakan-rakan berazam untuk meneruskan momentum kemenangan ini sewaktu bertemu dengan Melaka United di gelanggang sendiri Sabtu ini (malam ini),” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu.

Kipre berkata, dia lega dapat membantu TFC I menerusi ledakan dua gol pada aksi menentang Perak Selasa lalu dan berazam untuk terus mempertajamkan lagi sentuhan pemusnah pada aksi-aksi seterusnya.

Biar pun mengakui kadang-kala masih merasai kesakitan akibat kecederaan paha sebelum ini, dia memberitahu ia semakin pulih sekali gus menjadi pemangkin untuk penyerang sensasi TFC I untuk kembali kepada prestasi terbaik.

“Gandingan saya bersama (Bruno) Suzuki juga semakin serasi. Dia banyak memberi hantaran-hantaran berkesan untuk saya dan rakan-rakan cuba merobek gawang lawan.

“Begitupun, saya sedikit risau kerana Lee Tuck yang merupakan arkitek tengah TFC I tidak dapat beraksi menentang Melaka United kerana penggantungan. Apa pun, ketua jurulatih (Irfan) mesti ada perancangan,” katanya.

Kipre dan penyerang Selangor, Rufino Segovia berkongsi carta teratas penjaring terbanyak Liga Super dengan lapan gol selepas mengharungi 11 perlawanan setakat ini. -Kosmo