Irfan Bakti Sedikit Resah Jumpa KL Sabtu Ini


KUALA TERENGGANU: Walaupun skuad Terengganu FC (TFC) kini antara pencabar utama saingan Liga Super musim ini, pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim enggan mendabik dada.

Sebaliknya, beliau mengakui perlu melipatgandakan usaha bagi mengharungi cabaran menentang Kuala Lumpur (KL) di Stadium Bolasepak Kuala Kumpur, Sabtu ini.

Dalam masa sama, beliau juga mahu pemainnya tidak mudah berasa selesa bertemu skuad warga kota itu biarpun mereka sudah menemui rentak hasil kemenangan kali ketiga berturut-turut.

Irfan berkata, kekalahan 0-4 skuad The City Boys kepada Pahang Jumaat lalu bukan ukuran sebenar kerana pasukan itu mampu melakukan kejutan.

"Berdasarkan rekod, skuad KL pernah menundukkan Johor Darul Ta'zim, 1-0 dalam saingan liga pada Februari lalu di gelanggang mereka.

"Tidak mustahil skuad itu mampu mengulangi pencapaian sama Sabtu ini jika kami tidak bersedia dalam semua aspek termasuk fizikal dan mental.

"Apatah lagi mereka pasti mahu bangkit daripada kekalahan besar itu.

"Oleh sebab itu, saya ingatkan pemain lupakan episod kekalahan skuad itu kepada Pahang tempoh hari kerana perlawanan pastinya berbeza.

"Sebaliknya pemain perlu mempamerkan aksi sebenar selain tidak memandang mudah keupayaan lawan dalam misi untuk meneruskan momentum kemenangan," katanya.

Aksi Sabtu ini adalah pertemuan pertama kedua-dua pasukan kerana perlawanan yang dijadualkan sebelum ini ditunda. Perlawanan kedua di Kuala Terengganu dijadual berlangsung pada 10 Julai.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti yang kembali lega selepas anak buahnya mempunyai masa rehat panjang selama enam hari sebelum bertemu skuad The City Boys, menggesa anak buahnya meningkatkan prestasi diri bagi memastikan pasukan berada di landasan tepat untuk bersaing di kedudukan terbaik liga.

Selain itu, beliau menuntut pemainnya memanfaatkan peluang berehat dengan sebaik mungkin dan menjaga pemakanan pada bulan Ramadan ini.

"Ketika beraksi menentang Melaka United Sabtu lalu pemain jelas keletihan kerana tidak cukup rehat selepas bertemu Perak. Namun dengan rehat yang mencukupi ini saya mengharapkan pemain mampu beraksi dengan lebih baik dan seterusnya berjaya mengutip tiga mata," katanya. - Berita Harian