Irfan Bakti Mahu Terengganu FC Terus Buru Kemenangan


KUALA LUMPUR – Kejayaan melakar dua kemenangan berturut-turut dalam aksi liga menjadi tonik terbaik untuk Terengganu menghambat dua pasukan terbaik apabila bakal menerima kunjungan Melaka United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim berada di anak tangga keempat carta liga, berkongsi 18 mata dengan Pahang di kedudukan ketiga manakala Perak yang mengumpul 20 mata di tempat kedua. Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal di tempat teratas setelah mengutip 28 mata.

Nasib menyebelahi Terengganu apabila Pahang yang sebelum ini berada di tempat kedua gagal mengutip sebarang mata dalam dua aksi terakhir Liga Super manakala Perak sekadar mencatat satu seri dan satu kalah.

“Memang ini peluang terbaik kita untuk terus menghambat dua pasukan terbaik dan disebabkan itu kami tidak boleh keciciran sebarang mata.

“Begitu pun, dalam aksi liga kami kerap gagal mencipta kemenangan di laman sendiri, sebaliknya lebih banyak melakukannya di tempat lawan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, bercakap mengenai lawan mereka, bekas pengendali Felda United itu me­ngakui keupayaan Melaka United tidak boleh dipandang rendah kerana mereka masih belum me­ngalami kekalahan selepas dua perlawanan di bawah kendalian jurulatih baharu E. Elavarasan.

“Berdasarkan kedudukan liga, memang Melaka United di bawah kami malah kami juga pernah me­numpaskan mereka sebelum ini namun selepas mengambil jurulatih baharu mereka belum kalah.

“Corak permainan mereka juga semakin baik semenjak Elava­rasan mengambil alih pasukan dan disebabkan itu saya perlu memastikan pemain saya meningkatkan persembahan mereka dan tidak mengambil mudah terhadap Me­laka United,” katanya. - Utusan