KUALA TERENGGANU: "Pemain beraksi baik dalam keletihan dan saya harus puji mereka," ujar pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim.
Itu komen beliau selepas anak buahnya menang tipis 1-0 menundukkan Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dekat sini malam tadi.
Jaringan penyerang bergelar 'The Silent Killer' Mohd Ashari Samsuddin yang juga bekas pemenang Kasut Emas 2010 dengan menghasilkan 18 gol, sudah cukup buat skuad Penyu itu mengutip tiga mata di laman sendiri.
Menurut Irfan, biarpun pemainnya kepenatan kerana rehat kurang mencukupi dan ditambah beraksi dalam bulan puasa, mereka tetap tidak kenal erti penat sebaliknya terus berusaha mendapatkan gol.
"Saya puji pemain walaupun letih mereka tetap berusaha memburu jaringan. Hasilnya saya bersyukur kerana mereka dapat menjaringkan gol biarpun kami sebenarnya mampu menghasilkan lebih daripada satu jaringan," kata Irfan Bakti.
Mengenai ketiadaan tonggak tengah pasukan Lee Tuck, Irfan Bakti tanpa berselindung mengakui sedikit gusar sebelum aksi bermula kerana pemain itu dianggap arkitek pasukan selain berani melakukan percubaan ke arah gol lawan.
"Ketiadaan Tuck sedikit terasa tapi keupayaan Ashari menjaringkan gol begitu menggembirakan kerana jaringan itu membolehkan kami dapat kemenangan ketiga berturut-turut," katanya. - Berita Harian