Aksi Konsisten Terengganu FC Ceriakan Irfan Bakti


Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, boleh menarik nafas lega selepas skuad bimbingannya mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super menewaskan Perak 2-0 di Kuala Terengganu, malam tadi.

Selain berjaya menebus kekalahan di Ipoh, Irfan menyifatkan TFC berhak mendapat tiga mata penuh apabila mencipta lebih banyak peluang berbanding pasukan lawan.

Pengendali berpengalaman itu juga memuji rentak konsisten pemain-pemainnya yang mengekalkan corak agresif seperti diarahkan walaupun berdepan amaran serta layangan kad kuning dari pengadil.

"Saya berpuas hati mendapat tiga mata. Sebenarnya kami boleh mendapatkan lebih jaringan lagi pada perlawanan ini," ujar Irfan.

Corak agresif dimaksudkan Irfan begitupun dibayar dengan harga yang mahal selepas tonggak import, Lee Andrew Tuck, dilayangkan kad kuning ketiganya musim ini sekaligus terlepas aksi berikutnya menentang Melaka United pada Sabtu.

"Semestinya kami akan merindui kelibatnya tetapi ini masa terbaik pemain lain menunjukkan kerja keras merebut tempat dalam kesebelasan utama," tambahnya.

Aksi malam tadi menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu mengasak pada minit ke-15 apabila hantaran berbahaya Lee Tuck mencemaskan kubu lawan malangnya tandukan Bruno Junichi Suzuki jauh tersasar.

Skuad The Bos Gaurus yang banyak merencana gerakan di sebelah kiri melalui Mohd Nor Hakim Hasan kemudian memiliki peluang pada minit ke-23 menerusi tandukan Robert Cornthwaite yang tinggi melepasi pintu gol.

Dua minit selepas itu TFC diberikan sepakan penalti selepas J. Partiban dikasari Muhammad Rafiuddin Roddin dan disudahkan ketua pasukan, Kipre Tchetche, untuk gol pembukaan tuan rumah.

Selepas rehat, Sang Penyu memperkemaskan rentak dan rembatan deras Bruno pada minit ke-51 dari luar kotak penalti berjaya ditepis Mohamad Hafizul Hakim untuk memberikan sepakan penjuru kepada TFC.

Sepakan diambil Lee Tuck itu ditanduk Igor Zonjic sebelum disambar Tchetche yang bijak menolak bola masuk untuk menjadikan kedudukan 2-0 -- jaringan kelapan pemain itu dalam Liga Super musim ini.

Perak memiliki peluang terbaik merapatkan jurang pada minit ke-66 malangnya percubaan Wander Luiz Junior mengenai tiang gol sebelum tindakan susulan kapten, Mohamad Nasir Basharudin, melambung tinggi.

Hafizul Hakim menafikan hasrat Tchetche merakam hatrik dengan dua kali menepis rembatan pemain kelahiran Ivory Coast itu di penghujung permainan dan kedudukan 2-0 kekal berpihak kepada TFC.

Kemenangan diraih membolehkan TFC melonjak satu anak tangga ke kedudukan keempat memungut 18 mata manakala Perak dengan 20 mata kekal di tempat kedua dari 11 perlawanan. - Arena