Kipre Tchetche Percaya Akanni Sunday Mampu Meledak


KUALA TERENGGANU: Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk menggunakan khidmat penyerang sensasinya yang juga kapten pasukan, Kipre Tchetche bertemu Pahang dalam saingan Liga Super Selasa ini, musnah apabila pemain yang dikenali sebagai Drogba Terengganu itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Perkara itu dimaklumkan ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim yang menerima perkhabaran itu dengan hati terbuka biarpun sedar jentera serangan pasukannya kurang menyerlah tanpa kehadiran penyerang kelahiran Ivory Coast itu - seperti yang berlaku ketika bertemu Kedah Jumaat lalu.

"Tchetche masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan hasrat kami untuk menurunkan pemain itu dalam aksi bertemu Pahang nanti tidak kesampaian kerana dia hanya boleh beraksi semula pada 6 Mei ini," kata Irfan yang pernah membawa Terengganu menjulang trofi Piala FA pada tahun 2011..

"Jentera serangan tampak sukar meledak gol tanpa Tchetche, tapi bagi saya kehadiran Akanni Sunday Wasiu tidak begitu mengecewakan kerana dia boleh menyesuaikan diri dengan cepat dalam pasukan walaupun gagal menghasilkan jaringan.

"Selain itu seorang lagi penyerang yang baru menyertai pasukan TFC, Bruno Suzuki juga beraksi dengan baik biarpun masih belum menjaringkan gol."

Sementara itu Tchetche percaya penggantinya, Wasiu mampu menjadi watak pemusnah bertemu Pahang nanti.

"Bagi saya dia (Wasiu) adalah penyerang yang baik dan tajam di depan gol jika mempunyai peluang, jadi saya yakin dia mampu membantu pasukan mencatat kemenangan. Gandingan bersama Suzuki juga pasti serasi kerana mereka bermain dalam satu pasukan ketika bersama TFC II (Terengganu FC II).

"Apa yang saya harapkan kemenangan akan dapat dicapai sesudah seri 1-1 dengan Kedah," kata bekas penyerang kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu.

Tchetche yang memegang rekod penjaring terbanyak Liga Super setakat ini dengan enam gol cedera di bahagian paha ketika membantu skuad Penyu menang 3-0 ke atas Melaka United (MU) 13 April lalu. - Berita Harian