Lipat Gandakan Usaha Bertemu Kelantan FA - Irfan Bakti


PENDATANG baharu Liga Super, Pasukan Terengganu FC (TFC) tetap berpuas hati  walaupun sekadar berkongsi satu mata dengan PKNS FC selepas kedudukan terikat 2-2 dalam aski pembuka tirai kempen Liga Malaysia, malam kelmarin.

Pengendalinya,  Irfan Bakti Abu Salim mengakui keputusan seri itu sudah cukup memadai memandangkan PKNS kini  bukan calang-calang pasukan dan dilihat mampu menjadi pencabar tiga pasukan terbaik musim ini.

Menurutnya, pada aksi babak pertama perlawanan pasukannya bermain dengan baik bagaimanapun ketumpulan penyudah dalam menyempurnakan deretan peluang terhidang menyebabkan mereka  gagal meraih jaringan awal.

“Malah jentera tengah PKNS juga bermain dengan cukup baik sekali sehingga menyukarkan pemain saya untuk melakukan gerakan dan hanya dengan sedikit kesilapan membolehkan lawan menjaringkan gol mudah.

“Jadi keputusan seri ini cukup adil bagi kedua-dua pasukan dan saya  tetap berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan pemain dalam meraih sekurang-kurangnya satu mata di gelanggang sendiri,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam kelmarin.

Mengulas pertemuan kedua bertemu jiran tetangga, Kelantan esok, Irfan Bakti mengharapkan pasukannya terus  melipatgandakan usaha dan sentiasa fokus  dalam memburu kemenangan lebih-lebih lagi mereka beraksi di gelanggang lawan.

Katanya, bermain tiga hari dengan dua perlawanan sememangnya meletihkan tetapi ianya bukan alasan buat pasukannya  tidak membuat persediaan dengan rapi bertemu Kelantan nanti. - Sinar Harian