Lee Tuck Perlu Dirantai - Thanabalan


SEREMBAN: Penyerang Negeri Sembilan, N Thanabalan mengakui kelibat Lee Andrew Tuck mampu memusnahkan hajat pasukannya untuk meneruskan rentak kemenangan di gelanggang sendiri apabila bertemu Terengganu FC I (TFC I) pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Jumaat ini.

Katanya, pengalaman Lee Tuck bersama skuad Hobin Jang Hobin di bawah bimbingan Jorg Steinebrunner dan Mohd Asri Ninggal musim lalu, sudah tentu akan digunakan sebaiknya ketua jurulatih TFC I, Irfan Bakti Abu Salim dalam misi mereka membawa pulang tiga mata.

"Kami perlu lebih berwaspada dan tidak boleh ambil mudah apabila melayan kunjungan TFC I nanti kerana Lee Tuck bekas pemain Negeri Sembilan dan sudah tentu dia mempunyai pengalaman mengenai corak dan taktikal kita.

"Pengalamannya sudah tentu digunakan sebaik mungkin oleh Irfan Bakti untuk memerangkap bahagian pertahanan kami bagi mendapatkan gol.

"Secara peribadi, saya dapat rasakan situasi itu bakal berlaku dan pasukan kami perlu lebih berhati-hati dengan kelibat Lee Tuck serta jentera serangan lawan bagi mengelak rekod baik di gelanggang sendiri tercalar," katanya di sini, hari ini.

Thanabalan yang kembali membarisi senarai pemain skuad Rusa ketika menentang Melaka United (MU) selepas tidak beraksi dalam dua perlawanan awal menentang PKNP FC dan Kuala Lumpur, mengakui cabaran menentang TFC I dijangka sengit.

Dia yang juga penyerang skuad bawah 23 tahun (B-23) negara berkata, walaupun Negeri Sembilan dan TFC I sama-sama bersaing dalam kelompok Liga Perdana musim lalu, tetapi cabaran kali ini pasti berbeza.

"Jika mengambil kira rekod pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini di Paroi, sememangnya memihak kepada Negeri Sembilan, tapi kali ini suasana perlawanan sudah berbeza dan masing-masing bersaing dalam liga utama.

"Setiap mata penting untuk menentukan hala tuju kedua-dua pasukan dan selaku tuan rumah, kami perlu mempertahankan kelebihan yang ada untuk memastikan rekod kemenangan yang dicapai ke atas Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu, dapat diulangi ke atas TFC I.

"Apapun, kami perlu pastikan segala kesilapan ketika tewas kepada Melaka tidak berulang pada aksi itu, sebaliknya perlu bekerja keras dengan memberikan persembahan lebih bertenaga sekali gus memastikan tiga mata dalam genggaman pasukan," katanya.

Selepas tiga perlawanan, Negeri Sembilan kini menduduki tangga kesembilan dengan tiga mata berbanding TFC I, di tempat kelima selepas mengumpul lima mata hasil satu kemenangan dan dua seri. - Berita Harian