Irfan Bakti Pening!


PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui pening untuk menyenaraikan kesebelasan utama menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Jumaat ini.

Ini kerana menurut jurulatih berpengalaman berusia 67 tahun itu, majoriti pemainnya di semua posisi mempunyai keupayaan dan kemahiran hampir sama selain masing-masing menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan.

“Ini yang membuatkan saya buntu dan jika melihat aksi mereka ketika latihan saya jadi naik gerun, mereka berebut-rebut dan bersungguh-sungguh untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan.

“Bagi saya untuk menyenaraikan 18 pemain dalam sesuatu perlawanan tidak menghadapi masalah, tapi 11 pemain utama ini yang memerlukan penelitian yang rapi, apatah lagi saingan Liga Super kian sengit walaupun baru memasuki tiga perlawanan.

“Namun, komitmen mereka itu satu perkembangan yang sihat dan inilah yang saya cari, bukan hanya dalam aksi sebenar tapi ketika latihan mereka sudah pamerkan aksi yang bersungguh-sungguh,” kata Irfan Bakti.

Selepas tiga aksi terdahulu, skuad Penyu kini menghuni tangga kelima liga dengan mengutip lima mata hasil keputusan seri 2-2 bertemu PKNS FC dan Kelantan (1-1) sebelum menundukkan Selangor 4-1.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti berkata, beliau bakal menurunkan barisan terbaik menentang Negeri Sembilan bagi memastikan misi membawa pulang tiga mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah tercapai. - Berita Harian