MAMPU menundukkan pasukan Selangor di tempat sendiri menjadi satu kejayaan manis buat skuad Terengganu Football Club I (TFC I), kata Ketua Jurulatih TFC I, Irfan Bakti Abdul Salim.
Malah, beliau yang juga pengurus pasukan tersebut menganggap ia satu bonus kerana mampu meraih empat gol walaupun pada asalnya hanya ingin meraih tiga mata penuh pertama mereka selepas sekadar seri pada dua perlawanan tempoh hari.
"Sepatutnya kita (TFC I) dapat kekalkan 4-0 tapi kerana ada kelekaan di hujung perlawanan, kita harus terima dan ini adalah penyakit kepada bola sepak. Bagaimanapun saya memuji karakter pemain-pemain yang mana mereka telah menunjukkan satu mutu permainan yang cukup baik.
"Kalau tidak baik maka tidak mungkin untuk mereka menjaringkan empat gol...bagi saya keseluruhan pemain bermain sebagai satu pasukan... Sekarang pemain-pemain saya berebut untuk masuk dalam kesebelasan utama. Kalau kita tengok dalam latihan kadangkala kita naik gerun melihat mereka bermain begitu bersungguh-sungguh untuk merebut peluang bermain dalam kesebelasan utama," katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini semalam.
Rekod kemenangan Selangor sebagai pendahulu liga tercalar apabila Terengganu FC berjaya menjinakkan Gergasi Merah 4-1 dan melonjakkan pasukan Hitam Putih itu ke tangga keempat liga.
Jaringan Sang Penyu masing-masing dijaringkan oleh Andrew Lee Tuck pada minit ke-33 dan 69, Mohd Shahrul Aizad Zulkifli (minit ke-59) dan Tchetche Hermann Brice Kipre (minit ke-66). Gol sagu hati Selangor dijaringkan oleh Mohd Amri Yahyah pada masa kecederaan separuh masa kedua.
TFC I akan bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menentang Negeri Sembilan dalam aksi keempat perlawanan pada 23 Februari manakala Selangor dijadualkan menerima kunjungan Pahang ke Stadium Bukit Jalil pada 24 Februari nanti. - Bernama