Azraai Khor Sedia Berkhidmat Bersama TFC II


Kuala Lumpur: Bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah sedia mempertimbangkan tawaran melatih Terengganu FC II (TFC II) jika benar pasukan itu berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Namun, Azraai mendedahkan, setakat ini ‘berita’ bahawa beliau akan menyertai pasukan itu masih kekal sebagai khabar angin kerana tidak ada mana-mana pihak dari Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang merisik dirinya.

“Kalau ada, saya sedia pertimbangkan, bukan sahaja TFC II tapi juga mana-mana pasukan yang berminat. Pintu saya sentiasa terbuka.

“Sejak musim belum bermula, saya membaca pelbagai cerita di media sosial yang mengaitkan saya dengan beberapa pasukan tapi sehingga sekarang, tidak ada satu pun yang menghubungi saya,” ujar Azraai mengulas khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan kelab dari Terengganu itu.

Spekulasi itu tercetus ekoran prestasi buruk TFC II yang kini menghuni tangga kedua terbawah Liga Perdana selepas sekadar mengutip satu mata daripada tiga perlawanan hasil keputusan seri 1-1 menentang Sarawak.

Skuad bimbingan Mustaffa Kamal Abd Wahab itu dibelasah 4-0 oleh Sabah serta tewas 0-1 kepada MISC-MIFA.

Azraai yang membawa Kedah melakukan ‘double treble’ pada 2007 dan 2008 yakin sentuhannya belum hilang walaupun sudah lebih dua musim tidak mengendalikan sebarang pasukan dalam Liga Malaysia.

Malah, TFC II yang dulu dikenali sebagai T-Team bukan asing kepada jurulatih itu kerana beliau pernah melatih pasukan berkenaan pada musim 2014.

Walau bagaimanapun Azraai menegaskan beliau tidak akan terburu-buru menerima sebarang tawaran sebaliknya akan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum memberi kata putus.

“Saya hendak lihat dulu KPI (petunjuk prestasi utama) yang diletakkan pengurusan sama ada mampu dicapai dengan pemain yang mereka miliki.

“Tapi, apa yang paling utama adalah saya diberi kebebasan penuh untuk membentuk hala tuju pasukan termasuk pemilihan pemain kerana sama ada berjaya atau gagal saya bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya. - Harian Metro