(VIDEO) Piala MB Terengganu, Terengganu FC Raih Kemenangan Pembukaan


KUALA TERENGGANU: Terengganu FC I (TFC I) memulakan kempen kejohanan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu dengan langkah kanan apabila menundukkan Pahang 4-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.

Skuad Tok Gajah yang dibimbing Dollah Salleh begitupun terlebih dulu mendahului pada minit ke-27 melalui rembatan leret mengelirukan pemain import TFC I, Philip Hellquits hasil hantaran Mohamadou Sumareh.



Tersentak jaringan itu skuad Penyu yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim memperkemaskan gerakan dan berjaya menyamakan kedudukan hasil rembatan kencang Mohd Ashari Samsudin dalam kotak penalti pada minit ke-30.

Sembilan minit berselang penyerang tuan rumah, Tchetche Kipre yang digelar 'Drogba Terengganu' di kalangan peminat setia melepaskan peluang keemasan apabila gagal meledak jaringan kedua pasukannya biarpun hanya berdepan dengan penjaga gol lawan Mohd Helmi Eliza Alias.

Bersambung babak kedua Pahang yang diketuai kapten, Muslim Ahmad memulakan gerakan awal untuk memburu jaringan kedua tapi kekentalan benteng pertahanan tuan rumah menggagalkan usaha pelawat.

Barisan pelawat yang dilihat mendominasi permainan memperoleh jaringan kedua melalui bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-53 hasil kelam kabut depan pintu gol.

Pertahanan skuad Penyu kelahiran Montenegro, Igor Zonjic kembali menceriakan penyokong tuan rumah apabila tandukan cantiknya hasil lambungan pemain kelahiran England, Lee Tuck terus menerjah jaring pelawat untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Selepas jaringan penyamaan itu skuad TFC I kian bernafsu apabila terus mengasak untuk menambah jaringan tetapi dua percubaan menarik daripada Mohd Ashari dan Abdul Malik Mat Ariff gagal menemui sasaran.

Pada minit ke-89, Kipre mencetak jaringan ketiga dan pada masa kecederaan pemain gantian Mohd Faiz Nasir menambah derita pelawat dengan jaringan keempat. - Berita Harian