KUALA TERENGGANU: Skuad Terengganu FC I (TFC I) tidak akan menggunakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak sebagai gelanggang utamanya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Sebaliknya, stadium keramat iaitu Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) di sini bakal menjadi arena utama skuad itu dalam misi untuk meraih sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan bagi musim 2018.
Timbalan Presiden 1, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail ketika mengesahkan perkara itu berkata, SSMZA yang mula digunakan secara rasmi sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2008 itu akan ditutup untuk kerja penambahbaikan.
"Stadium itu akan dibaikpulih berkaitan bumbung dan padang. Jadi, TFC I akan beraksi di SSINS bersama pasukan TFC II (Terengganu FC II) musim ini. Tiada masalah kerana jadual perlawanan kedua-dua pasukan adalah berbeza.
"PBSNT berharap peminat setia memahami situasi ini dan terus memberi sokongan padu kepada kedua-dua pasukan pada setiap perlawanan sekali gus mampu menyuntik semangat pemain ketika beraksi," kata Wan Nawawi.
Pada awal musim lalu, pertemuan pertama Terengganu menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC di SSMZA yang menelan kos RM270 juta dengan kapasiti 50,000 tempat duduk penonton itu terpaksa dihentikan, kerana keadaan padang becak akibat hujan.
Berikutan itu, perlawanan kedua hingga tamatnya saingan Liga M musim lalu, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim terpaksa menggunakan SSINS sebagai gelanggang utama yang dikongsi bersama dengan pasukan T-Team.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, TFC I merakam kemenangan pertama dalam aksi pra musim di Stadium Olimpik Kemboja selepas menumpaskan kelab Svay Rieng FC 1-0, hasil jaringan pemain import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre pada minit ke-31.
Hari ini, TFC I dijadualkan bertemu pasukan Army FC, juga di Stadium Olimpik, manakala pada 9 Januari, skuad Penyu itu bakal berdepan pasukan Phnom Penh Crown FC di Stadium RSN.
Skuad yang dijenamakan semula dengan nama TFC 1 mulai musim 2018 itu akan kembali ke tanah air pada 10 Januari, untuk menghadapi saingan Piala Menteri Besar Terengganu yang dijadualkan pada 15 Januari. - Berita Harian