Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Mustaffa Kamal Abd Wahab mahu barisan pemain mudanya menggunakan sepenuhnya peluang bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi persahabatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, petang ini untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
Katanya, aksi itu tidak seharusnya dipersiakan pasukannya yang majoriti dibarisi pemain muda untuk menghadapi saingan Liga Perdana musim ini.
"Pada perlawanan petang ini, saya hanya membawa barisan pemain tempatan untuk menguji kekuatan JDT dan pemain perlu mengambil peluang ini.
"Jadi, saya harap mereka dapat mempelajari sesuatu dalam perlawanan berdepan pasukan yang dibarisi pemain tempatan dan import berkualiti itu," katanya.
Mustaffa Kamal berkata, perlawanan itu juga menjadi pentas terbaik untuknya menilai pemain tempatan bagi membarisi kesebelasan utama pasukan TFC II.
"Kita berterima kasih kepada JDT kerana memilih TFC II untuk menguji kekuatan juara Liga Super empat kali berturut-turut dan Piala Malaysia musim lalu itu," katanya.
Ditanya mengenai pemain import, Mustaffa Kamal yang juga bekas pemain Terengganu berkata, sekalipun pasukannya tampil sebagai pasukan sokongan kepada TFC I musim ini, namun mereka tetap diperkuatkan empat awang import bagi memberi saingan dalam Liga Perdana.
Katanya, TFC II mengikat bekas peledak berbisa Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC, Akanni-Sunday Wasiu dan bekas penyerang import Negeri Sembilan, Bruno Suzuki manakala dua pemain dari Haiti, Sebastian Thuriere dan Andrew Jean-Baptistea melengkapkan kuota import pasukan musim ini.
"Saya belum bersedia menggunakan empat import bertemu JDT kerana mereka memerlukan sedikit masa kerana baru tiba di Kuala Terengganu.
"Mungkin aksi pertama mereka ialah dalam perlawanan persahabatan seterusnya menentang Selangor minggu depan," katanya. - Berita Harian