Sharbinee Allawee Diketepikan Terengganu FC


KUALA TERENGGANU: Hasrat peminat untuk melihat semula aksi 'terbang' bekas penjaga gol nombor satu Terengganu atau kini dikenali sebagai Terengganu FC I (TFC I), Mohd Sharbinee Allawee Ramli berkecai apabila dia tidak disenaraikan dalam skuad itu bagi mengharungi kancah Liga Malaysia musim ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden 1 Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang menyatakan tahap kecergasan pemain itu belum 100 peratus.

Bagaimanapun, Wan Nawawi memaklumkan peluang Mohd Sharbinee untuk disenaraikan semula dalam skuad Penyu tetap ada jika bekas pemain kebangsaan itu cergas sepenuhnya pada jendela kedua perpindahan pemain nanti.

"Buat masa ini penjaga gol itu tidak disenaraikan dalam skuad TFC I, tapi jika dia (Sharbinee) disahkan pulih sepenuhnya pada pertengahan musim ini, kita akan melihat semula sama ada pemain itu boleh beraksi ataupun sebaliknya. PBSNT akan memantau perkembangannya selain akan melihat laporan perubatan," kata Wan Nawawi.

Sebelum ini, ketua jurulatih TFC I, Irfan Bakti Abu Salim menyerahkan keputusan berhubung masa depan pemain itu kepada PBSNT sama ada mahu menyenaraikan namanya dalam pasukan ataupun perlu direhatkan lagi.

Awal musim lalu, pemain berusia 32 tahun itu hanya beraksi dalam dua perlawanan bertemu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dan PDRM sebelum diketepikan kerana mengalami masalah paru-paru.

Berikutan itu, bekas penjaga gol skuad Sukan SEA 2009 itu dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan keadaannya kini dilaporkan semakin baik.

Mengulas lanjut, Wan Nawawi melahirkan perasaan gembira apabila pemain yang pernah beraksi bersama skuad Selangor dan bawah 23 tahun negara (B-23) itu kini sudah mula menjalani latihan ringan.

"Ini perkembangan yang positif untuk mengembalikan semula prestasi terbaiknya sebagaimana sebelum ini dalam misi membantu TFC I apatah lagi perjalanan liga masih panjang," kata Wan Nawawi.

Skuad Penyu sudah mengikat empat penjaga gol iaitu Wan Muhammad Azraie Wan Teh, Muhamad Syazwan Yusoff, Mohd Suffian Abdul Rahman dan Faizal Yusoff. - Berita Harian