TFC II Bentuk Keserasian, Persahabatan Dengan TFC


SELEPAS lebih seminggu menjalani latihan, skuad  TFC II kini mula membentuk kombinasi  pasukan terutamanya dalam kalangan pemain muda  bagi mengharungi  saingan Liga Perdana musim depan.

Pengendalinya, Mustafa Kamal Abdul  Wahab berkata, walaupun majoriti pemainnya masih muda dan  baharu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), namun mereka telah menunjukkan keinginan yang tinggi untuk bersaing bagi mengisi skuad utama pasukan.

Menurutnya, sinario itu memberi satu perkembangan yang positif buat pasukan sekaligus memberi pengalaman baharu buat mereka untuk bersaing dalam aksi Liga Perdana nanti.

“Malah kehadiran bekas penyerang UiTM FC, Akanni Sunday yang mula menjalani bersama pasukan juga turut menaikkan lagi semangat untuk memberikan saingan sengit  dalam kalangan mereka.

“Apa yang dilihat, pemain-pemain muda kita ini masih memerlukan sedikit lagi masa untuk mempamerkan aksi  yang lebih matang dan yakin mereka ini mampu memberikan persembahan terbaik  nanti,” katanya ketika ditemui selepas menjalani latihan di Padang A, Kompleks Sukan Gong Badak di sini.

Dalam pada itu, bekas pengendali skuad Piala Presiden Terengganu itu turut mengakui  lebih menitiberatkan prestasi semasa  pemain berbanding status mereka sama ada pemain muda atau senior.

Katanya, hanya pemain  yang layak sahaja bakal diturunkan bagi membarisi skuad utama pasukan dalam satu-satu perlawanan nanti.

“Bahkan kita juga perlu berani untuk meletakkan pemain-pemain muda bagi membawa cabaran TFC II kerana  sebagai pasukan ‘feeder’  ianya seharusnya selari dengan matlamat yang dibawa.

“ Justeru, kita sedang mengatur satu aksi  perlawanan persahabatan bersama pasukan TFC I yang dijadualkan pada penghujung bulan ini bertujuan untuk melihat dan menilai semula  kemampuan pemain,” katanya. - Sinar Harian