Terengganu FC Uji Kekuatan Di Kemboja Januari 2018


KUALA TERENGGANU: Terengganu FC I (TFC I) akan mengadakan siri jelajah pra musim di Kemboja, awal Januari 2018 sebagai persiapan pasukan dalam menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menariknya, tiga siri perlawanan jelajah itu diadakan khas di negara kelahiran pemain import yang baharu ditandatangani TFC I, iaitu Thierry Chantha Bin.

Bagi pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim, beliau yakin tiga aksi menentang kelab di Kemboja itu nanti mampu membantunya menilai kekuatan dan kelemahan yang ada dalam pasukannya.

Jurulatih berusia 66 tahun itu berkata, sebelum itu, pasukannya terlebih dulu akan mengharungi perlawanan pemanas badan bersama pasukan 'adik' (TFC II) bulan ini.

"Saya harap siri jelajah ini medan menilai kekuatan dan kelemahan pasukannya sebelum sepak mula saingan Liga Super yang dijadual bermula Februari tahun depan," katanya yang ditemui di Pejabat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Irfan yang juga pengurus pasukan TFC I berkata, selepas pulang dari Kemboja, pasukannya akan mengharungi perlawanan empat penjuru merebut Piala Menteri Besar Terengganu.

Ditanya mengenai kehadiran Igor Zonjic dalam pasukannya, bekas pengendali Persipura Jayapura, Indonesia itu yakin pemain kelahiran Serbia berusia 26 tahun berkenaan akan dapat mengatasi masalah di posisi benteng pertahanan.

Irfan Bakti yang pernah membimbing Negeri Sembilan, Melaka TM FC, Perlis, Selangor dan FELDA United berkata, pasukannya begitu mudah dibolosi dalam situasi bola mati sepanjang saingan Liga Perdana musim ini.

"Jadi, saya harap Zonjic yang menjadi tonggak utama buat bekas kelabnya di Liga Serbia, FK Rad mampu memainkan peranan penting di benteng pertahanan bersama gandingan pemain tempatan," katanya. - Berita Harian