Terengganu FC Miliki Barisan Terbaik 2018


PASUKAN Terengganu FC I (TFC I) dilihat memiliki barisan terbaik untuk kembali mewarnai kancah Liga Super musim depan selepas melengkapkan kouta pemain import dengan menandatangani  kontrak semusim bersama pemain kebangsaan Kemboja, Thierry Chanta Bin dan bekas pemain PKNP, Kim Hyeon Woo (Korea Selatan) hari ini.

Selain dua tonggak tengah itu, TFC I turut diperkuatkan dengan tiga lagi awang import yang dibarisi jentera serangan kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre, bekas pemain import Negeri Sembilan,  Lee Andrew Tuck dan Igor  Zonjic dari Serbia.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim turut melahirkan keyakinan dengan kehadiran kedua-dua pemain import ini mampu memperkuatkan lagi bahagian tengah pasukan selain kemampuan Thierry Chanta beraksi di posisi pertahanan.

Menurutnya, kehadiran kelima-lima awang import itu juga  disifatkan  mampu membentuk pasukan dengan lebih seimbang  termasuk  gandingan pemain tempatan untuk berdepan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang semakin mencabar  musim depan.

"Jadi kelima-lima kouta pemain import kita sudah lengkap sepenuhnya apabila mereka mengikat kontrak selama semusim kecuali Andrew Tuck akan bersama pasukan selama dua musim.

"Kita sebenarnya bukan memilih mereka ini bukan berdasarkan dari pasukan terkuat  tetapi lebih kepada keupayan individu masing-masing, malah saya lihat kehadiran mereka ini khususnya Thierry Chanta sudah mendapat reaksi positif daripada penyokong Kemboja sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak pemain import TFC I  bersama , Thierry Chanta Bin dan Kim Hyeon Woo (Korea Selatan) di Pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti berkata, kesemua pemain import akan mula menjalani latihan bersama pasukan selewat-lewatnya minggu depan kecuali Igor Zonjic yang masih berbaki  dua  perlawanan bersama kelabnya, FK Rad dalam Liga Serbia dan dijangka tiba penghujung bulan ini.

Pasukan TFC I telah memulakan sesi latihan pra musim sejak semalam dan bakal bersaing dalam aksi perlawanan empat penjuru melibatkan pasukan Melaka United, Pahang dan Kelantan bagi merebut Piala Menteri Besar Terengganu yang dijadualkan berlangsung  pada 15 hingga 24 Januari depan. - Sinar Harian