Pemain kelahiran Korea Selatan, Kim Hyeon-woo, menyifatkan keputusannya berhijrah ke Terengganu FC (TFC) I sebagai langkah terbaik dalam mengembangkan karier bola sepaknya.
Malah, bekas tonggak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu mengakui tidak menyesal meninggalkan PKNP walaupun mereka juga dinaikkan pangkat ke Liga Super, musim depan.
Hyeon-woo, 28, berkata, kesungguhan Irfan Bakti Abu Salim mendapatkan khidmatnya menjadi tarikan selain keinginan melonjakkan kembali reputasi TFC I dalam persada liga tempatan.
“Sebelum ini, saya pernah cuba menyertai Terengganu kerana Terengganu sebuah pasukan yang besar dan memiliki sejarah hebat.
“Jurulatih (Irfan Bakti) suka dengan corak permainan saya dan itu yang membawa saya ke sini,” jelasnya.
Seorang lagi import baharu TFC I, Thierry Chantha Bin, 26, pula bertekad membuktikan keupayaan dalam penampilan sulungnya di negara ini.
Menurut bekas pemain Krabi FC itu, walaupun tiada pengalaman dalam Liga Malaysia, dia bersedia menyahut cabaran serta mencapai sasaran yang diletakkan kepada TFC I, musim depan.
“Sudah tentu ada tekanan apabila beraksi pertama kali. Namun, saya teruja untuk menunjukkan kualiti yang terbaik,” kata Chantha Bin. - Arena