Import Kedua Terengganu FC II Tiba Dua Minggu Lagi


KUALA TERENGGANU: Pemain import kedua yang bakal memperkuatkan pasukan Terengganu FC II (TFC II) untuk mengharungi saingan Liga Perdana musim depan dijangka tiba di negeri ini dua minggu lagi.

Awang import kelahiran Amerika Syarikat yang memiliki kerakyatan Haiti bermain di posisi pertahanan dan tengah dikatakan sudah bersetuju untuk menyarung jersi TFC II.

Begitupun, pemain berusia 27 tahun itu mahu menghabiskan baki perlawanan dengan kelab yang diwailiki sekarang, Sheikh Russel KC dalam Liga Bangladesh sebelum datang ke Terengganu.

Ketua jurulatih TFC II, Mustaffa Kamal Abd Wahab, berkata pihaknya sudah menerima keputusan persetujuan secara lisan daripada pemain itu untuk menyarung jersi pasukan bimbingannya.

Katanya, pasukannya sudah memiliki seorang pemain import selepas menandatangani kontrak bekas peledak berbisa Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC, Akanni-Sunday Wasiu baru-baru ini.

"Sunday Wasiu akan mengetuai jentera serangan TFC II manakala seorang lagi yang dijangka tiba dua minggu lagi memperkuatkan benteng pertahanan atau tengah pasukannya.

"TFC II hanya diperkuatkan dua awang import sahaja musim depan manakala selebihnya menggunakan gabungan pemain Piala Presiden dan beberapa pemain senior berentap dalam saingan Liga Perdana," katanya.

Mustaffa Kamal berkata, Sunday Wasiu juga sudah menjalani latihan untuk persiapan musim depan dan pemain tinggi lampai itu dilihat tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri lebih cepat bersama pasukan.

Bekas pengendali skuad Piala Presiden Terengganu itu berkata, fokusnya kini ialah untuk memberi motivasi dan keyakinan terutama kepada pemain muda yang buat pertama kali beraksi dalam kancah Liga Perdana.

"Bagi saya, tidak kira pemain muda atau senior mereka perlu bekerja kuat merebut tempat dalam kesebelasan utama dan siapa yang menunjukkan prestasi cemerlang, maka itu yang menjadi pilihan," katanya. - Berita Harian