Ashari Samsudin Kembali Bersama Terengganu


Kuala Terengganu: Ashari Samsudin sah kembali bersama Terengganu musim depan, pemain yang dikatakan bekas anak didik Irfan Bakti akan memperkuatkan lagi pasukan Terengganu.

Irfan Bakti sebelum ini pernah menyatakan seorang pemain bekas anak didiknya akan kembali dan dengan pengesahan ini telah terjawab siapa pemain tersebut.

Mengulas lanjut barisan kejurulatihan musim depan dengan kehadiran semula Mohd Nik bersamanya akan beroperasi sebagai tiga serangkai.

Gandingan tiga serangkai yang diketuai Irfan Bakti Abu Salim dan penolongnya, Mohamad Nik serta Kamaruddin Anuar kembali bergabung idea untuk merencana strategi terbaik buat Terengganu FC I (TFC I) menjadi pasukan lebih mantap musim depan.

Sebelum ini tiga pengendali itu pernah bersama mengemudi FELDA United selama tiga tahun hingga mampu membentuk pasukan mantap sebelum Irfan dan Kamaruddin memilih haluan baharu bersama Terengganu musim ini manakala Mohamad kekal membimbing skuad FELDA.

Dengan kembalinya Mohamad atau lebih mesra dipanggil ‘Coach Nik’ boleh diibaratkan sebagai sirih pulang ke gagang kerana jurulatih berpengalaman berasal dari Terengganu itu pernah membawa skuad Penyu mara ke final Piala FA pada 2004 selain sudah biasa dengan corak latihan Irfan.

“Selepas semusim tidak bersama Irfan dan Kamaruddin, saingan musim depan adalah peluang terbaik buat kami bergabung idea dan tenaga untuk membentuk pasukan TFC I yang lebih berkualiti dan mantap.

“Hal ini kerana kami bertiga sudah saling memahami corak latihan dan strategi masing-masing sekali gus memudahkan lagi tugasan latihan dalam misi untuk menerapkan strategi lebih ampuh dalam skuad TFC I,” kata bekas pemain tengah kebangsaan itu.

Ketika ditanya adakah FELDA United tidak mahu menyambung khidmatnya musim depan, Mohamad menyatakan The Fighters masih menagih khidmatnya tetapi keinginan untuk membantu pasukan negeri kelahiran membuatkan beliau memilih TFC I.

Penolong jurulatih berusia 63 tahun itu berkata, beliau juga menyasarkan untuk mengangkat kembali martabat dan imej pasukan TFC I yang sebelum ini digeruni lawan.

“Sudah sampai masanya saya kembali ke Terengganu apatah lagi dengan adanya Irfan dan Kamaruddin serta jurulatih muda, Nafuzi Zain yang sudah pasti akan melahirkan keseronokan bekerja dalam satu pasukan dan bukannya secara individu,” kata bekas pemain Terengganu dari 1975 hingga 1985 itu. - Harian Metro