Akanni Sunday Wasiu Mahu Jadi ‘Mesin Gol’ Terengganu FC II


KUALA NERUS: Penyerang import baharu Terengganu FC II (TFCII), Akanni-Sunday Wasiu berazam menjadi 'mesin penjaring' kepada pasukannya dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Pemain berusia 33 tahun kelahiran Nigeria itu berkata, dia juga akan berusaha mengekalkan rentak cemerlang sama seperti ketika menyarung jersi Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC sebelum ini.

"Walaupun TFC II bermain dalam Liga Perdana, pasukan ini ialah pilihan yang tepat buat diri saya untuk terus berkembang dalam karier bola sepak.

"Saya akan berusaha mengulangi prestasi cemerlang ketika bersama UiTM FC musim ini," katanya yang meledak 17 gol musim ini.

Sebelum ini, TFC II mengesahkan menandatangani kontrak Wasiu selama setahun dan pemain itu akan mengetuai jentera serangan menghadapi saingan Liga Perdana, musim depan.

Wasiu berkata, dia bukan saja mahu menjadi peledak digeruni, malah bertekad menjulang TFC II selaku juara Liga Perdana musim depan.

Katanya, dia yakin dengan gabungan pemain muda dan senior dalam pasukan itu, tidak mustahil TFC II yang dibimbing Mustaffa Kamal Abd Wahad mencipta kejutan.

"Saya akui tugas lebih mencabar akan ditempuh bersama TFC II berbanding ketika menyarung jersi UiTM FC.

"Pasukan TFC II mempunyai misi dan bercita-cita besar membuatkan tertarik menyertai mereka.

"Saya pernah berunding dengan beberapa pasukan dan berhasrat bermain dalam Liga Super musim depan, namun gagal mencapai kata putus sebelum membuat keputusan menyertai TFC II," katanya. - Berita Harian