Akanni Sunday Sasar Juara Liga Perdana Bersama Terengganu FC II


Penyerang import Terengganu FC (TFC) II, Akanni-Sunday Wasiu, melaungkan amaran bersedia mengulangi prestasi cemerlang dalam Liga Perdana pada musim akan datang.

Malah, bekas ayam tambatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC itu juga meletakkan sasaran untuk muncul juara liga bersama TFC II.

Akanni-Sunday, 33, ketika ditemui berkata dia teruja dengan cabaran berbeza yang dihadapinya berbanding kelab terdahulu dengan rentak latihan yang lebih keras dan berintensiti tinggi.

“Mungkin kami beraksi dalam Liga Perdana tetapi TFC II memiliki mentaliti sebuah pasukan Liga Super selain dibarisi gabungan pemain muda dan berpengalaman,” ujarnya.

Mengulas lanjut kehadirannya bersama TFC II, pemain kelahiran Nigeria itu menegaskan telah membuat pilihan yang tepat meskipun turut dirisik beberapa pasukan Liga Super.

Menurutnya, TFC II menunjukkan minat dan berusaha mendapatkan khidmatnya tatkala pasukan Liga Super dimaksudkannya seolah-olah bermain tarik tali.

“Pasukan lain terlebih dahulu mendekati saya tetapi selepas berminggu-minggu tiada tawaran rasmi dibuat.

“Walaupun melupakan hasrat beraksi dalam Liga Super, saya gembira dengan misi TFC II, seterusnya membantu pasukan ini menjuarai Liga Perdana,” tambahnya. - Arena