Thierry, Zonjic Lengkapi Senarai Import Terengganu FC


PASUKAN Terengganu FC I (TFC I) melengkapkan senarai lima kuota pemain importnya setelah berjaya mendapatkan khidmat dua pemain kebangsaan daripada Kemboja (Thierry Chantha Bin) dan Serbia Montenegro  (Igor Zonjic) bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kedua-dua pemain yang berusia 26 tahun  itu dijadualkan tiba di negeri ini dan mula menjalani latihan pra musim  bersama pasukan pada pertengahan bulan depan.

Menurutnya, selepas penjenamaan semula pasukan Terengganu ke TFC I pasukan hanya mengekalkan penyerang import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre, selain berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain import Negeri Sembilan, Lee Andrew Tuck dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Kim Hyeon Woo dari Korea Selatan.

“Malah kehadiran Therry yang beraksi di bahagian tengah itu berjaya memenuhi  kuota pemain import Asia Tenggara manakala Zonjic pula menggantikan  kekosongan benteng pertahanan  ditinggalkan  Lazaro Vinicius setelah kontraknya  tidak dilanjutkan musim depan. - Sinar Harian