Terengganu Gugur Tiga Pemain Import


Kuala Terengganu: Naib juara Liga Perdana, Terengganu, membuat keputusan tidak menyambung kontrak pertahanan import, Lazaro Vinicious, untuk musim depan.

Perkara itu disahkan Lazaro, 27, yang menjadi tonggak benteng Sang Penyu sejak menyertai mereka pada awal musim ini.

Pemain kelahiran Brazil itu memuat naik posting dalam laman Instagramnya mengakui dengan berat hati akan meninggalkan pasukan itu selepas mengharungi musim yang baginya membanggakan.

Malah, bekas pemain Manama FC dalam Liga Bahrain itu sempat mengucapkan selamat berjaya kepada skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim dalam mengharungi saingan musim 2018.

“Terima kasih kepada penyokong, rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan kerana membawa Terengganu kembali ke Liga Super.

“Menjadi satu penghargaan beraksi bersama Terengganu, namun ini bukan keputusan daripada saya kerana saya masih mahu kekal di sini,” katanya.

Nasib sama dialami dua lagi awang import, Gabriel Davis dos Santos dan Issey Farran Nakajima, yang turut dilepaskan.

Difahamkan hanya seorang pemain import akan dikekalkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), iaitu Kipre Tchetche. - Arena