KUALA TERENGGANU: Pendatang baru Liga Super, Terengganu menyasarkan sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Skuad yang terkenal dengan jolokan Peteh Terengganu Peteh itu juga mengintai kelompok tiga teratas dalam Liga Super musim depan.
Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, sasaran itu dilihat mampu dicapai jika semua pihak termasuk pemain berjaya memainkan peranan dan tugas secara berkesan serta konsisten.
"KPI (petunjuk indeks prestasi) yang ditetapkan PBSNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) musim depan akan saya pikul dengan sebaik mungkin dalam mencapai misi merangkul sekurang-kurangnya satu piala dan ketiga terbaik liga.
"Saya percaya dengan komitmen semua pihak dan yang penting pemain itu sendiri mampu mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan," kata pengendali berusia 66 tahun itu yang akan memulakan latihan pertama pada 4 Disember depan.
Musim ini bekas pemain kebangsaan itu berjaya mencapai KPI yang ditetapkan PBSNT apabila berjaya membantu pasukan layak beraksi di Liga Super musim depan walaupun gagal menjulang kejuaraan Liga Perdana.
Pada 2011, jurulatih yang pernah membimbing kelab Persipura Jayapura dalam Liga Indonesia itu membantu Terengganu menjuarai Piala FA dan muncul naib juara Liga Super.
Selasa lalu, Terengganu yang menggunakan nama baru iaitu Terengganu FC I (TFC I) selepas penjenamaan semula pasukan menjadi skuad tunggal dari Terengganu beraksi dalam saingan Liga Super manakala skuad T-Team yang ditukar nama kepada Terengganu FC II (TFC II) akan beraksi di Liga Perdana. - Berita Harian