Terengganu FC Intai Dua Orang Lagi Pemain Import


SELEPAS sah mengikat tiga tonggak import, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengintai dua lagi pemain untuk melengkapkan kouta lima pemain import yang dibenarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) musim depan.

Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim (gambar) berkata, dua pemain berkenaan sudah berada dalam radar skuad Penyu, namun setakat ini belum dapat diumumkan lagi di sebabkan beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

“Pemain terbabit akan mengisi bahagian pertahanan dan tengah menyerang, tapi buat masa ini belum dapat diumumkan lagi. Saya jangkakan dalam masa terdekat dua pemain itu akan menjadi milik skuad Penyu jika semua dokumen selesai,” kata Irfan Bakti.

Sebelum ini skuad yang terkenal dengan jolokan Peteh Terengganu Peteh itu sudah mengikat penyerang import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre, pemain kelahiran England, Lee Andrew Tuck dan bekas pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Kim Hyeon Woo dari Korea Selatan.

Pada akhir bulan lalu PBSNT mengekalkan 12 pemain utama musim ini termasuk kapten Abdul Latiff Suhaimi, Mohd Faiz Mohd Nasir, Ismail Faruqi Ashari, Sufian Abdul Rahman, Adib Aizuddin Abdul Latif, J Partiban, Mohd Radhi Yusof, Azi Shahril Azmi dan Nasrullah Hanif Johan.

Skuad yang bakal menggunakan nama baru Terengganu FC I (TFC I) musim depan itu juga membawa masuk empat muka baru iaitu bekas penjaga gol Pahang, Wan Mohd Azraai Wan Teh, Mohd Fauzi Abdul Kadar (T-Team), Mohd Fitri Omar (Kedah) dan bekas pemain Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff.

Difahamkan sebelum ini dua pemain import yang dikatakan bakal menyarung jersi Terengganu ialah pemain pertahanan dari Montenegro berusia 26 tahun, Igor Zonjic dan pemain muda kelahiran Kemboja, Chan Vathanaka untuk kuota Asia Tenggara.

Bagaimanapun di sebabkan dua pemain itu yang dikatakan turut dipancing pasukan lain menyebabkan pengendali berusia 66 tahun itu belum mengesahkan lagi dua tonggak import terbaru skuad itu.

Selasa lalu, PBSNT membuat keputusan drastik dengan penjenamaan semula pasukan apabila hanya mengekalkan pasukan TFC I beraksi dalam saingan Liga Super manakala pasukan T-Team (TFC II) diturunkan ‘pangkat’ beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan. - Harian Metro