T-Team FC Gugur Yannick N’Djeng dan Mamadou Samassa


Masalah prestasi dan kecederaan menyaksikan T-Team membuat keputusan menggugurkan khidmat dua penyerang importnya, Yannick N’Djeng dan Mamadou Samassa, bagi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

Penolong jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim, turut mengesahkan tidak akan menyambung kontrak empat pemain tempatan, iaitu Hafidz Romly, Ooi Shee Keong, Mohd Ramzul Zahini dan Azrul Azran.

Nasib dua lagi awang import, Dilshod Sherofetdinov, dan tonggak pertahanan, Abdoulaye Maiga, bagaimanapun, masih belum dimuktamadkan.

Azhari berkata ketua jurulatihnya, Rahmad Darmawan, sedang membuat keputusan sama ada masih mahu menagih kelibat pemain kelahiran Uzbekistan dan Mali itu.

“T-Team juga sedang menilai prestasi 12 pemain Piala Presiden yang sudah melepasi had umur untuk diserap ke skuad senior, mungkin separuh daripada mereka akan disenaraikan.

“Posisi penjaga gol pula bakal diisi bekas penjaga gol skuad B-22, Amierul Hakimi Awang, daripada pasukan Terengganu,” ujarnya. - Arena