Rahmad Terkilan Andai T-Team FC Dianak Tirikan


Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, meluahkan rasa terkilan dengan situasi yang menimpa pasukannya yang akan ‘turun pangkat’ ke Liga Perdana, musim depan.

Dengan masih tiada kata putus mengenai masa depan T-Team, pengendali berusia 51 tahun itu mengakui belum membuat keputusan mengenai hala tujunya walaupun kontraknya masih berbaki setahun.

Malah, Rahmad menegaskan hanya akan terus berkhidmat di Kuala Terengganu sekiranya T-Team dikekalkan beraksi dalam Liga Super.

“Saya sudah melakukan yang terbaik dan kami berjaya kekal dalam saingan Liga Super. Jadi, keadaan ini agak mengejutkan semua pihak.

“Tiada hitam putih berkenaan status T-Team sedangkan persiapan rapi telah kami lakukan, termasuk senarai pemain tempatan dan import untuk musim depan,” katanya.

Jurulatih itu juga mengesahkan menerima beberapa tawaran pasukan dari negara kelahirannya, Indonesia, namun menyedari tugasnya bersama T-Team masih belum selesai.

Senario itu mungkin berubah sekiranya Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan kerajaan negeri meneruskan hasrat hanya menghantar satu pasukan utama dalam Liga Super.

“Saya telah menjalankan amanah serta tanggungjawab menjaga maruah T-Team musim ini,” tambahnya. - Arena