Kuala Terengganu: Terengganu bakal menganjurkan Piala Menteri Besar Terengganu (4 Penjuru) Januari depan.
Melaka United (MU) mengesahkan akan beraksi dalam Kejohanan itu yang berlangsung di Kuala Terengganu dari 15 hingga 24 Januari depan.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, MU menerima pelawaan penganjur untuk menyertai pertandingan empat penjuru berkenaan.
Katanya, saingan yang turut membabitkan pasukan tuan rumah Terengganu, Kelantan dan Pahang itu bakal menjanjikan saingan getir buat skuad bimbingan Eduardo Almeida.
"Kami sudah menerima pelawaan penganjur dan pada dasarnya bersetuju menyertai kejohanan berkenaan yang antara lain mampu mengenalpasti kelemahan dan kekuatan skuad Hijau Putih menjelang saingan Liga Malaysia yang bermula Februari depan.
"Apa yang kami harapkan pemain mampu memberi aksi terbaik dengan skuad impian MU perlu menampilkan karakter sebenar sebagai skuad yang disegani," katanya selepas pertemuan antara pengurusan MU bersama penyokong di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.
Apapun, beliau melihat kesemua pasukan yang bersaing terutama tuan rumah, skuad Tok Gajah dan The Red Warriors bukan lawan mudah.
Namun, katanya, komitmen tinggi pemain baharu dan sembilan yang dikekalkan diyakini mampu membentuk keserasian yang lebih jitu pada kejohanan berkenaan. - Berita Harian