Kuala Terengganu: Walaupun khidmat pertahanan kanan, Firdaus Faudzi masih diperlukan Terengganu musim depan, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) terpaksa merelakan pemain itu berpindah ke pasukan lain.
Pengendali skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, khidmat pemain berasal dari Kedah itu ditagih untuk memperkuatkan benteng pertahanan bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
“Firdaus berada dalam perancangan kami untuk menghadapi liga musim depan, tapi pemain itu minta dilepaskan atas faktor keluarga dan mungkin tawaran lebih baik dengan pasukan baharu.
“Oleh itu, PBSNT tidak mahu menyekat Firdaus dan dengan hati terbuka melepaskan pemain itu dengan baik biarpun sebelum ini sudah disenaraikan dalam skuad Terengganu musim depan,” kata pengendali yang pernah membimbing kelab Persipura Jayapura dalam Liga Indonesia itu.
Irfan berkata, pemain berusia 30 tahun itu yang pernah menyarung jersi Terengganu pada 2010 akan menyertai PKNS FC musim depan.
“Saya doakan pemain itu terus berjaya bersama pasukan baharunya dan terima kasih atas khidmatnya ketika menyarung jersi Terengganu musim ini hingga berjaya membantu pasukan layak ke Liga Super dan muncul naib juara Liga Perdana,” ujar pengendali berusia 66 tahun itu.
Sebelum ini bekas pemain FELDA United, Kedah, Perlis dan Sime Darby FC itu dikekalkan semusim lagi oleh PBSNT bersama 11 lagi pemain termasuk kapten Latiff Suhaimi, Faiz Nasir dan penjaga gol veteran Sufian Abdul Rahman.
Bagaimanapun, keputusan pemain yang kariernya bermula sebagai penyerang itu tidak mengejutkan kem Terengganu yang pantas mengintai pertahanan kanan T-Team, Kamal Azizi Zambri untuk memperkukuhkan jentera pertahanan. - Harian Metro