KERAJAAN negeri memberi ‘lampu hijau’ kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) melantik Pengarah Teknikal berwibawa jika itu membawa kebaikan buat pasukan Penyu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat, berkata pihaknya menyerahkan kepada PBSNT membuat keputusan sama ada mahu menggunakan kepakaran Pengarah Teknikal atau sebaliknya.
Beliau berkata, sebelum ini PBSNT pernah menggunakan khidmat Pengarah Teknikal, namun tidak memberi impak kepada pasukan, mungkin kerana pemilihan yang tidak tepat.
“Kita menyokong jika pelantikan Pengarah Teknikal dapat membantu meningkatkan mutu bola sepak di Terengganu dan individu yang dipilih mempunyai latar belakang dalam kalangan bekas pemain.
“Jadi, terserah kepada PBSNT membuat keputusan ini dan kami menyokong apa saja tindakan demi kebaikan bola sepak negeri ini,” katanya selepas program Dialog dan Sesi Soal Jawab Bola Sepak Terengganu di sini, malam tadi.
Program dialog terbuka yang julung kali diadakan ini adalah inisiatif Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu membabitkan ahli Datuk Rozi, Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Faruk Hussin Tengku Abdul Jalil, Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar dan wakil penyokong.
Mengulas lanjut, Rozi berkata pihaknya menuntut semua pihak terutama penyokong untuk memberi peluang kepada kerajaan negeri serta PBSNT melakukan penjenamaan demi bola sepak Terengganu.
Beliau berkata, penyokong seharusnya memberi peluang dan ruang kepada persatuan melakukan perubahan ini dan bukannya terus menghentam pembaharuan yang mahu dilakukan.
“Sebelum ini, kita memiliki dua pasukan di negeri ini iaitu Terengganu dan T-Team yang saling bersaing siapa yang lebih hebat sedangkan mereka berada di bawah satu bendera.
“Kita tidak berani menjanjikan dapat memberikan kejayaan mendadak dalam tempoh singkat, namun apa yang boleh dilakukan adalah buat yang terbaik dengan sekurang-kurangnya membawa pulang satu piala musim depan,” katanya. - Harian Metro