Irfan Bakti Setia Tunggu Sharbinee Allawee


KUALA TERENGGANU: Mohd Sharbinee Allawee Ramli masih belum mendapat 'lampu hijau' daripada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk disenaraikan dalam pasukan, namun pengendali pasukan Irfan Bakti Abu Salim tetap sabar menanti kepulangan bekas penjaga gol nombor satu Terengganu itu.

Irfan Bakti berkata, setakat ini bekas penjaga gol kebangsaan itu belum disenaraikan lagi dalam pasukan Terengganu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

"Saya serahkan perkara itu kepada PBSNT untuk buat keputusan sama ada diserapkan dalam skuad ataupun sebaliknya, " kata Irfan Bakti.

"Saya difahamkan dia (Sharbinee) masih lagi menjalani rawatan susulan. Sekiranya pulih sepenuhnya daripada penyakit yang dihidapi, tiada sebab pemain itu tidak dapat menyarung jersi skuad Terengganu."

Pada awal musim ini, pemain berusia 31 tahun itu hanya beraksi dalam dua perlawanan pertama bertemu pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dan PDRM sebelum diketepikan daripada skuad Peteh Terengganu Peteh itu kerana masalah paru-paru.

Berikutan itu bekas penjaga gol skuad Sukan SEA negara pada tahun 2009 di Laos itu dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan keadaannya kini dilaporkan semakin baik.

Pemain yang pernah beraksi bersama skuad Selangor itu kini sudah menjalani latihan ringan walaupun belum berlatih sepenuhnya di padang bersama pemain lain.

Setakat ini tiga penjaga gol sudah disenaraikan skuad Penyu - bekas penjaga gol Pahang musim ini, Wan Muhammad Azraie Wan Teh, Muhamad Syazwan Yusoff dan penjaga gol veteran Mohd Suffian Abdul Rahman.

Menurut Irfan Bakti, jika Sharbinee belum pulih sepenuhnya sehingga tarikh pendaftaran pemain berakhir, dia mencadangkan kepada PBSNT supaya menawarkan jawatan yang bersesuaian kepada bekas pemain kebangsaan itu.

"Saya harap PBSNT menawarkan sesuatu kepada dia ( Sharbinee) jika pemain itu belum pulih sepenuhnya daripada penyakit yang dihidapinya," katanya. - Berita Harian