Irfan Bakti Risik Dua Lagi Pemain Tempatan


Kuala Terengganu: Terengganu FA sedang merisik dua pemain tempatan bagi memperkukuhkan pasukan dalam menghadapi Liga Malaysia musim hadapan.

Ketua Jurulatih Irfan Bakti Abdul Salim berkata, kedua-dua pemain dikenal pasti tapi identiti mereka masih dirahsiakan.

"Saya tidak boleh berkata lebih pasal identiti pemain berkenaan tapi satu daripada mereka datang dari pasukan utara dan satu lagi pantai timur semenanjung. Kita bukan ingin berahsia sangat tetapi biarlah ia selesai dahulu dan kita akan mengumumkan siapa mereka ini.

"Kita terpaksa cari dan ikat pemain tempatan terutamanya lebih awal kerana sedar dengan jumlah pemain bagus di Malaysia ini agak terhad, selebihnya baru kita akan isi kekosongan tersebut dengan pemain import."katanya

Irfan turut mengesahkan pemain yang telah dikekalkan dan dilepaskan serta 3 pemain import seperti laporan sebelum ini.

Terengganu layak ke Liga Super musim hadapan setelah muncul naib juara Liga Perdana di belakang Kuala Lumpur.

Sumber maklumat yang boleh dipercayai kami perolehi menyatakan pemain yang dikekalkan 12 orang, pemain tempatan baharu 14 orang dan pemain import baharu yang telah dirisik dari Myanmar dan Korea Selatan.

Sejauh mana kebenarannya bakal terjawab apabila segala proses mengenai pemain-pemain ini selesai.