KUALA TERENGGANU: Pendatang baru Liga Super, Terengganu semakin bernafsu membentuk skuad mantap apabila bakal mengikat tiga lagi pemain, dalam misi memburu minimum satu trofi kejuaraan musim depan.
Tiga pemain yang menjadi pilihan terkini adalah tonggak T-Team - Mohd Fauzi Abdul Kadar (tengah), Muhammad Kamal Azizi Mohd Zambri (pertahanan) dan pemain sayap, Mohd Nor Hakim Hasan.
Sebelum ini Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) sudah merantai penyerang import kelahiran England yang beraksi dengan Negeri Sembilan musim ini, Lee Andrew Tuck serta bekas pertahanan kiri Kedah, Mohd Fitri Omar.
Pengendali skuad Peteh Terengganu Peteh, Irfan Bakti Abu Salim berkata, tiga pemain itu berada dalam perancangannya bagi memperkuatkan jentera pertahanan dan tengah skuad Penyu.
"Proses mendapatkan tiga pemain itu berjalan lancar dan saya menjangkakan mereka tidak menghadapi masalah untuk bersama dengan Terengganu," kata pengendali berusia 66 tahun itu.
Irfan yang pernah membawa Terengganu menjulang trofi Piala FA pada 2011 ternyata gembira, kerana prestasi semasa pemain berkenaan berjaya memikatnya walaupun masih belum menandatangani kontrak bersama Terengganu.
"(Tetapi) janganlah nanti bila beraksi bersama Terengganu, prestasi mereka merudum dan lebih kerap memanaskan bangku simpanan.
"Oleh itu, semua pemain perlu bekerja lebih keras untuk tingkatkan lagi prestasi terbaik sekali gus mampu memupuk persaingan yang sihat dalam pasukan," kata Irfan Bakti..
Pengendali berpengalaman ini berjaya mengangkat Terengganu kembali ke Liga Super musim depan, selepas muncul naib juara Liga Perdana di belakang Kuala Lumpur, yang dibezakan kedudukan hanya berdasarkan jaringan gol. - Berita Harian