KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad Piala Presiden Terengganu, optimis pasukannya akan mencipta kejutan pada final kedua berdepan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.
Mustafa menjelaskan, bukan tugas mustahil bagi anak buahnya memadam kelebihan dua gol milik Selangor yang meraih kemenangan 2-0 pada final pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, jumaat lalu.
"Final bukan sekali, ada di tempat sendiri dan tempat lawan. Bagi saya 2-0 bukan jurang yang amat besar, kami sudah kenal pasti corak permainan Selangor.
"Aura beraksi di gelanggang sendiri lain dan kami mempunyai rekod baik di Kuala Terengganu. Kami akan buat kejutan dan perlu bekerja keras.
"Kami akan buat satu rumusan berkenaan perlawanan akhir pertama dan dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, saya yakin pemain saya mampu bangkit," katanya selepas perlawanan akhir pertama.
The Red Giants mendapat gol menerusi Badrul Amin Rusalan dan Syahmi Safari pada babak pertama dan skuad Penyu juga memiliki beberapa peluang, namun gagal disudahkan dengan jaringan.
Selain itu, Mustafa turut mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pemainnya sepanjang 90 minit.
"Secara keseluruhan memang saya tidak puas hati sebab ada beberapa kelemahan dan Selangor mendapat gol pun berpunca daripada kesilapan pemain saya sendiri," katanya. - Berita Harian