IPOH: Terengganu mungkin bercita-cita besar untuk merangkul gelaran tetapi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC juga turun dengan misi untuk meraih mata penuh bagi menamat cabaran di tempat ketiga Liga Perdana apabila mereka bertembung di Stadium Perak, Jumaat ini.
Ketua jurulatih Abu Bakar Fadzim berkata, PKNP FC mahu menutup kempen liga dengan nota kemenangan sekali gus memastikan impian menduduki kedudukan ketiga tercapai.
PKNP FC boleh dianggap mencapai kejayaan besar setakat ini kerana berjaya membuat impak besar dalam penampilan pertama dalam Liga M.
Anak buah Bakar membuat kejutan apabila mara ke suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
"Kami sudah bersedia menerima kunjungan Terengganu yang pasti ingin mencari kemenangan untuk menjuarai Liga Perdana 2017.
"Tapi kami berazam menjejaskan parti mereka kerana kami juga turun dengan misi untuk menang perlawanan terakhir liga sekali gus menduduki tangga ketiga pada tahun pertama beraksi dalam kempen Liga Perdana," ujar Bakar.
Begitupun jurulatih itu sedar laluan sukar menanti anak buahnya kerana Terengganu kendalian Irfan Bakti Abu Salim bukan calang-calang pasukan.
"Terengganu sudah layak ke Liga Super 2018. Faktor itu cukup untuk membuat mereka turun dengan motivasi tinggi dan perlu dihormati serta diawasi.
"Namun kami akan bermain di Stadium Perak sebelum ia ditutup untuk pengubahsuaian bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.
"Saya harap penyokong kami akan hadir beramai-ramai untuk menyemarak semangat kepada pemain.
"Ia pasti memberi kelebihan kepada pemain PKNP," jelasnya.
Manakala bagi Irfan Bakti pula sudah tentu fokus terus untuk mendakap Piala Liga Perdana sambil mengharapkan Kuala Lumpur tewas atau sekadar seri dengan JDT II dan yang pasti Terengganu juga memerlukan kemenangan.
“Sekarang saya mahu menumpukan saingan terakhir Liga Perdana bertemu PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) dulu Jumaat ini sebelum mencari pemain baru untuk diserapkan dalam skuad musim depan,” kata Irfan yang pernah membimbing skuad Terengganu menjulang Piala FA pada 2011.