PBSNT Tekad Lahirkan Jurulatih Baharu, Bukan Sahaja Pemain Akar Umbi (UBI)


Kuala Terengganu: Selain memastikan pembangunan sukan bola sepak di negeri ini terus berkembang di peringkat akar umbi, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut aktif dalam melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah dan berkelayakan di Terengganu.

Justeru, badan induk bolasepak Terengganu itu tampil menganjurkan  Kursus Kejurulatihan Lesen D AFC/FAM yang disertai 24 peserta selama lima hari dan berakhir kelmarin sebagai  platform terbaik buat golongan muda menyahut cabaran menjadi jurulatih berkelayakan.

Pengarah Pembangunan Kejurulatihan PBSNT, Marzuki Sulong berkata, inisaitif itu dilakukan setelah menyedari  jurang antara jurulatih muda dan jurulatih berpengalaman di Terengganu semakin membimbangkan.


Menurutnya, dengan adanya penganjuran kursus sebegini dari masa ke masa, kita dapat memastikan jurang itu dapat dikurangkan sekaligus merealisasikan hasrat PBSNT ke arah menuju bolasepak moden yang bukan sahaja memberi penekanan terhadap pemain bahkan juga kejurulatihan.

“Jadi dengan  adanya Lesen D ini, setiap jurulatih ini diharapkan mampu memberi sumbangan di peringkat akar umbi khususnya di daerah masing-masing.

“Malah selepas ini kita juga akan menganjurkan kursus bagi lesen C, B dan A bagi memastikan mereka-mereka ini mampu membawa pasukan-pasukan di setiap daerah dalam mengharungi liga dalaman yang dianjurkan PBSNT setiap tahun seperti Liga Darul Iman dan sebagainya pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat majlis penutup dan menyampaikan sijil kepada 24 peserta Kursus Kejurulatihan Lesen D AFC/FAM  di sini, semalam. - Sinar Harian