Irfan Bakti Turunkan Barisan Terbaik Walaupun Sekadar Pelengkap Jadual


Kuala Terengganu: Meskipun sudah boleh melupakan tempat ke suku akhir, Terengganu tetap memburu kemenangan dalam aksi Kumpulan D menentang Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pertemuan itu mempunyai makna tersendiri dan berhajat menghadiahkan tiga mata kepada penyokong tuan rumah.

Menurut Irfan, pasukannya mahu membuktikan kehebatan mengatasi lawan dari Liga Super selepas gagal dalam lima percubaan sebelum ini termasuk bertemu Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Perlawanan malam ini adalah yang terakhir di Kuala Terengganu untuk musim 2017. Jadi, kami mahu tamatkan dengan kemenangan.

“Selain itu, tiga mata juga penting dalam menaikkan moral dan semangat pemain-pemain untuk meneruskan saingan Liga Perdana bertemu MISC-MIFA pada 19 September,” ujarnya.

Sementara itu, Irfan turut lega dengan kembalinya beberapa pemain dari senarai kecederaan antaranya Abdul Latiff Suhaimi dan Issey Farran Nakajima.

Malah, dua lagi tonggak tengah, Ismail Faruqi Ashari dan Mohd Shahrin Sapien juga semakin mengampiri senarai bebas kecederaan. - Arena