Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim menggesa anak buahnya agar tidak terlalu selesa dengan kedudukan mereka selaku pasukan di kelompok kedua Liga Perdana ketika ini, sebaliknya mahu pemain skuad Penyu itu fokus baki kempen saingan liga.
Terengganu berada di landasan tepat untuk kembali ke saingan Liga Super musim depan dilihat berpeluang menjulang kejuaraan seandainya menang kesemua baki dua perlawanan, selain mengharapkan pendahulu Kuala Lumpur keciciran mata dalam aksi mereka selepas ini.
Menurut Irfan, tidak dinafikan mereka hanya memerlukan satu kemenangan lagi untuk menempah slot ke Liga Super, namun dalam bola sepak pelbagai perkara boleh berlaku.
Katanya lagi, pertemuan dengan PDRM esok akan menjadi misi hidup mati skuadnya untuk meraih tiga mata paling penting musim ini.
"Memanglah kita tengok jurang mata PDRM dengan kita agak jauh. Mereka pun sudah tiada apa mahu dikejarkan lagi. Tapi ini bukan tiket untuk pemain-pemain saya mengambil mudah cabaran mereka.
"Ini adalah perlawanan yang mahu tidak mahu kami kena menang. Jadi, apa yang saya harapkan sudah tentulah kami dapat mengutip tiga mata di laman sendiri, sekali gus kembali beraksi di saingan Liga Super musim depan.
"Inilah sasaran utama saya sejak mengambil alih pasukan ini awal musim dahulu. Apa pun, diharapkan dengan sokongan padu pemain ke-12 kami nanti, kami berjaya mencapai misi penting ini," katanya. - Sinar Harian