Kuala Lumpur: Fatehah Mustapa merangkul pingat emas ketiganya dalam temasya KL2017 apabila mengungguli acara berbasikal trek 500 meter ujian masa wanita manakala Mohd Fadhil Mohd Zonis menyusuli kehebatannya dalam acara 1km ujian masa lelaki di Velodrom Nasional, Nilai, sebentar tadi.
Fatehah mencatat masa 34.542 saat untuk memadam rekod yang diciptanya dalam Sukan Komanwel Glasgow 2014 untuk menamatkan saingan di hadapan dua pencabar dari Indonesia, Crismonita Dwi Putri yang merekodkan 36.165s dan Santia Tri Kusuma (36.345s).
"Alhamdulillah, syukur hari ini saya dapat satu lagi emas untuk semakin dekat dengan sasaran empat emas.
"Saya amat gembira dengan catatan masa saya selepas memecah rekod lama saya.
"John Beasley turut berpuas hati kerana prestasi sebenar saya sudah kembali," katanya.
Dia akan turun dalam misi merebut satu lagi emas dalam acara keirin wanita, malam ini.
Menurutnya lagi, "Saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar dan tidak akan berlaku sebarang masalah teknikal.
"Setakat ini, saya lihat tiada masalah untuk mendapatkan emas keempat."
Dengan suhu velodrom ditingkatkan hari ini, ia memberi kelebihan kepada pelumba negara untuk memenangi emas kedua, kali ini menerusi Fadhil.
Dia melakar catatan 1:01.889s dalam 1km ujian masa lelaki namun usahanya untuk memecah rekod kebangsaan yang dipegang Rizal Tisin sejak 2009 tidak menjadi kenyataan.
Perak turut menjadi milik pelumba negara menerusi uhd Shah Firdaus Shahrom sementara Elyas Yusof (Singapura) memenangi gangsa.
Turut cemerlang, skuad kejar mengejar berpasukan lelaki yang ditunjangi Eiman Firdaus Zamri, Afiq Huznie Othman, Irwandie Lakasek dan Nur Aiman Zariff untuk mara ke final dengan memperbaharui rekod kebangsaan, 4:49.484s.
Mereka akan dicabar oleh Thailand, Indonesia dan Singapura pada malam ini bagi merebut emas. - Arena